PERMOHONAN DALAM USUL CAWANGAN DUN DENGKIL 2006
Cawangan Taman Desa Dengkil
Mendesak kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dengan segera supaya perkara ini tidak melarat kepada orang lain.

Mengambil berat kerana taman ini selalu berlaku pergaduhan oleh pelajar-pelajar SMKD semasa pulang dari sekolah. Oleh yang demikian, kami mohon kerjasama pihak polis supaya dapat mengawasi perkara ini agar tidak berulang lagi.

Memandangkan masalah sosial telah menjadi satu perkara yang membimbangkan di kawasan ini, dicadangkan kawasan ini diwujudkan satu badan jawatankuasa bertindak seperti jawatankuasa penduduk, rukun tetangga bekerjasama dengan pihak berkuasa polis dan jabatan agama bagi memantau perkara sumbang tidak berlaku di kawasan ini lagi.

Cawangan Jenderam Hilir
Projek Pembesaran Kampung
UMNO cawangan telah membawa usul ini setiap tahun namun tiada tindakan mahupun penyelesaian untuk mengatasi masalah projek yang terbengkalai ini. Memandangkan projek ini adalah di bawah projek penswastaan kerajaan negeri, maka UMNO cawangan telah menghantar surat kepada YAB Menteri Besar Selangor pada Disemberi 1995. Walaubagaimanapun pihak Pejabat Menteri Besar telah meminta dan menghantar surat kepada Pejabat Daerah/Tanah Sepang untuk memberikan laporan berhubung kedudukan projek tersebut.

Sehingga ke hari ini, jawapan untuk penyelesai masalah tersebut masih lagi tidak diterima. Sehubungan ini diusulkan agar YB ADUN Dengkil khasnya, dapatlah mencari jalan penyelesaian bagi menjayakan projek tersebut. UMNO cawangan tidak mahu kelak tanah yang dicadangkan untuk projek tersebut akan diambil alih oleh pihak lain. Adalah diharap pihak kerajaan berpegang kepada janji untuk merealisasikan projek pembesaran kampung ini.

Struktur bangunan dewan orang ramai Kampung Jenderam Hilir yang tidak memuaskan dan membahayakan. Kualiti binaan dewan orang ramai yang berusia lebih kurang empat tahun ini adalah amat mendukacitakan. Keseluruhan keadaan dewan ini termasuk lantai, bumbung, pintu dan tiang telah terjejas dan dikhuatiri penggunaannya membahayakan. Kemungkinan pembinaan dewan ini tidak mengikut spesifikasi serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya. Keadan struktur bangunan dewan adalah rendah mutu pembinaannya. Sehubungan dengan ini UMNO cawangan mengusulkan agar Jabatan Kerja Raya mengambil tindakan sewajarnya samada membaik pulih atau menaiktaraf dewan tersebut.

Pemaju projek pembesaran jalan dari Dengkil ke simpang tiga Jenderam mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya di Kampung Jenderam Hilir. Pemaju yang menjalankan kerja pembesaran jalan di kampung ini tidak menitikberatkan keselamatan penduduk kampung. Lori yang membawa tanah dan batu adalah amat membahayakan kerana tidak bertutup dan muatan berlebihan. Selain itu juga jalan yang dikorek tidak diletakkan kon atau lampu amaran kepada pengguna jalan raya. Sehubungan dengan ini, UMNO cawangan mengusulkan agar pihak berkuasa samada Jabatan Kerja Raya, Polis dan JPJ memandang serius masalah ini sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi untuk menerajui negara. UMNO cawangan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menerajui negara khasnya bagi mencapai kejayaan RMK9 dan wawasan 2020 amnya. Kami di peringkat cawangan tidak akan terpengaruh dan keliru dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Teguran dan kecaman oleh Tun Dr Mahathir adalah tidak berasas. Diantara kecaman dan teguran Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seperti keputusan membatalkan pembinaan jambatan baru ke Singapura, penjualan saham Agusta, penyingkiran Tengku Mahalel dan sebagainya adalah merupakan campur tangan yang tidak sewajarnya.

Segala keputusan yang dibuat oleh kerjaan sekarang adalah satu keputusan bersama kabinet dan bukanlah keputusan YAB Perdana Menteri seorang. Dengan ini diharap isu yang dibangkitkan dan tindak tandung Tun Dr Mahathir hari ini tidak akan menjejaskan perpaduan parti kita. Sehubungan dengan ini UMNO Cawangan Kg Jenderam Hilir memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Pak Lah menguruskan negara dalam usaha untuk menjayakan Misi Nasional sepertimana yang telah digariskan dalam RMK9

Cawangan Sungai Merab Jaya
Usul Pembangunan : Mengambil pendekatan yagn lebih serius mengenai penyambungan jalan alternatif dari Seksyen C5 Projek Lebuh Raya Utara Selatan ke Masjid Baru Kampung Sungai Merab. Menyegerakan tindakan membaik pulih kawasan tanah perkuburan di Kampung Sungai Merab

Merancang bagi mengelakkan bencana banjir yang sering berlaku di bawah jejambat Lebuh Raya KL-Seremban apabila hujan lebat. Ini adalah kerana jalan tersebut merupakan jalan utama bagi pengguna dalam urusan harian mereka.

Menaik taraf jalan utama di Kampung Sungai Merab bagi memudahkan kemasukan pengangkutan awam seperti bas untuk kemudahan orang ramai. Menaik taraf padang permainan atau padang bola sepak Sungai Merab untuk kemudahan kegiatan sukan dan riadah. Mengambil tindakan segera untuk menyambung talian telefon di Kompleks Niaga Sungai Merab

Memasang sistem penghawa dingin di Dewan Dato Hj Mohd Sharif untuk keselesaan dan kemudahan orang ramai terutamanya jika terdapat majlis-majlis penting yang melibatkan golongan VIP.

Usul Pendidikan : Mendesak agar kerajaan membina Sekolah Menengah Kebangsaan di sekitar Kampung Sungai Merab, Kg Dato Abu Bakar Baginda dan Desa Putra ataupun sekitar kawasan yang berdekatan denga kawasan-kawasan tersebut

Cawangan Bukit Changgang
Dilihat sekarang harga bahan logam seperti besi semakin tinggi. Ini menyebabkan banyak kes kecurian bahan tersebut di sekitar Kampung Bukit Changgang. UMNO Cawangan Bukit Changgang meminta dikaji semula pemberian lesen kepada pengusaha barang lusuh di sekitar kampung ini.

Memohon pembinaan Sekolah Agama di kampung ini memandangkan bangunan sedia ada tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang bersekolah di sekolah ini.

Memohon kemudahan riadah untuk penduduk kampung ini terutama kepada golongan muda seperti kemudahan padang permainan. Ini kerana penduduk kampung tidak memiliki padang untuk bermain bola sepak dan sebagainya. Justeru itu, UMNO Cawangan Bukit Changgang meminta pihak berkenaan agar memberi perhatian kepada permohonan ini kerana usul ini acapkali dibangkitkan pada setiap persidangan tetapi tidak diberi perhatian dan maklum balas.

Cawangan Sungai Buah Luar
Menukar ganti 2 jambatan kayu yang usang di Jalan Sungai Buah Luar kepada jambatan konkrit. Memperluaskan jalan-jalan utama yang sempit yang hanya muat untuk satu kereta sahaja seperti di Jalan Sungai Buah Luar. Menurap jalan-jalan utama laluan penduduk terutama di Jalan Manggis, Jalan Rambutan dan Jalan Sungai Buah Luar.

Menurap jalan yang menghubungkan rumah-rumah penduduk seperti jalan ke Lot 1, 5, 8, 11 dan 6568 Kampung Sungai Buah. Membina perparitan yang sempurna. Longkang tanah yang sedia ada tidak dapat mengalirkan air longkang dengan baik dan telah menyebabkan air bertakung. Kami takut akan menjadi masalah kesihatan pula kepada penduduk berdekatan. Menyediakan sistem penyaluran air bersih yang lengkap. Menyediakan lampu-lampu jalan di tempat yang stategik.

Membantah sekeras-kerasnya lombong berdekatan dengan penempatan kami menjadi milik Cape Glory Sdn Bhd. Ini adalah kerana kami telah kehilangan tempat rekreasi dan riadah kami. Kami tidak dapat lagi memancing dengan bebas, berdayung sampan dan mengadakan aktiviti-aktiviti menternak ikan. Malah anak-anak kami telah diugut dan dihalau dari menghampiri kawasan lombong tersebut wahal di sinilah tempat mereka membesar. Oleh itu, kami memohon lombong tersebut dibebaskan semula dan diletakan di bawah penjagaan UMNO cawangan.

Memohon supaya tanah-tanah kediaman yang dibekukan dan yang belum mempunyai pemilik di kawasan pentadbiran UMNO Cawangan Sungai Buah Luar di beri hak untuk menguruskannya. Ini adalah untuk menentukan bahawa peluang pemilikan tanah-tanah kosong tersebut dapat diberi kepada ahli-ahli cawangan ini sebagai membalas jasa mereka kepada UMNO.

Memohon penyediaan kemudahan untuk pendidikan pra-sekolah kepada anak-anak kami di kawasan ini. Kami perlukan kawasan dan bangunan untuk tujuan itu.

Cawangan RKT Sungai Merab
Memohon pihak berkuasa kerajaan menyediakan infrastruktur seperti pembinan lot-lot tanah perumahan, jalan, elektrik dan air untuk projek pembesaran Kampung Desa Putra yang mana rata-rata kawasan tersebut berpaya dan berair. Memohon pihak berwajib menyambung jalan pintas bagi menghubungkan Desa Putra ke Putrajaya-Cyberjaya dan Dengkil untuk kemudahan penduduk di kampung ini.

Memohon pihak kerajaan menyediakan bangunan tambahan bagi Sekolah Kebangsaan Desa Putra kerana peningkatan murid-murid dan pertambahan taman-taman baru di Desa Putra

Mendesak pihak berwajib membina masjid baru, kompleks niaga dan klinik kesihatan kampung seperti yang telah dijanjikan pada pilihanraya umum yang lalu.

Cawangan Pulau Meranti
Penubuhan Putera UMNO Cawangan Pulau Meranti. Sebagai pelapis bagi generasi UMNO dan kesinambungan perjuangan UMNO.

Pembinaan Kedai PLB
Memohon kepada pihak kerajaan agar memperbanyakkan pembinaan kedai PLB yang mana boleh membina tapak perniagaan kepada penduduk Pulau Meranti yang berkemahiran dan berkebolehan

Pembinaan Sekolah Menengah
Memandangkan pertambahan yang mendadak dan kepadatan penduduk di Pulau Meranti diharapkan kerajaan dapat membina sebuah Sekolah Menengah yang dapat menampung keperluan masyarakat Pulau Meranti dan kawasan sekitarnya

Menaik taraf Klinik Desa
Memandangkan keperluan prasarana kesihatan yang baik dan bermutu sangat perlu, kami memohon kepada pihak kerajaan agar menaik taraf klinik desa di Pulau Meranti selaras dengan keperluan yang semakin mendesak.

Kebanjiran pendatang tanpa izin
Memohon kepada kerajaan agar dasar kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini lebih ketat demi keselamatan negara dan keselesaan masyarakat

Pejabat Pos
Isu pejabat pos merupakan isu lapuk yang belum dapat pembelaan dan perhatian daripada pihak tertentu sedangkan pembangunan di sekitar Pulau Meranti amat maju

Kemudahan Bas
Sejak kebelakangan ini sistem pengangkutan awam di Pulau Meranti seolah-oleh melangkah setapak ke belakang. Kekerapan bas sebagai salah satu alat pengangkutan utama perlu diberi perhatian. Malah syarikat bas yang berlainan serta juga berlainan destinasi perlu diambil kira.

Peluang Tender/Kerja
Kelihatan banyak kontraktor yang melakukan projek-projek kecil di sekitar Pulau Meranti. Justeru itu pihak kerajaan khasnya Majlis Perbandaran perlu mengambil kira kebolehan anak tempatan di Pulau Meranti untuk mendapat peluang tersebut. Tidak hanya penganugerahan projek kepada kroni dalam Ahli Majlis sahaja.

Cawangan Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda
Mendesak supaya UMNO Bahagian Sepang dan UMNO Malaysia mengambil tindakan tatatertib sekeras-kerasnya terhadap ahli-ahli UMNO Kg Dato’ Abu Bakar Baginda yang menjadi calon dan penyokong yang bergerak aktif parti pembangkang dalam pilihanraya kebangsaan Mac 2004 yang lalu iaitu;

En Haslin bin Hasan Calon Pas N55
En Hassan bin Hj Ahmad penyokong aktif
En Baharuddin Abu Naim penyokong aktif
En Mohd Radzi Abu Naim penyokong aktif

Cawangan Pangsapuri Kiambang Taman Putra Perdana
Menganjurkan bengkel kepimpinan dalam memastikan keseimbangan dan kecekapan dalam kepimpinan. Bengkel ini haruslah dijadikan acara tahunan kerana ini adalah penting bagi melahirkan generasi yang lebih bermotivasi seiring dengan peredaran zaman globalisasi

Kem motivasi remaja/belia untuk memberi pendedahan kepada remaja mengenai kehidupan yang sihat dan menjadi individu yang berjaya. Ini penting memandangkan remaja zaman ini terdedah dengan pelbagai budaya dan pengaruh negatif. Program ini merangkumi aspek fizikal dan mental. Remaja akan dapat mempelajari sesuatu yang berguna yang akan dijadikan sebagai ilmu bagi menempuh hidup yang penuh cabaran kerana golongan inilah yang menjadi tunggak negara dan menjadi pemimpin suatu hari nanti

Cawangan Kampung Dato Ahmad Razali
Usul Tanah Tapak Rumah
Mendesak kerajaan agar daapt menyediakan tanah tapak rumah untuk para belia di Kampung Dato’ Ahmad Razali khasnya dan belia di sekitar kawasan kampung Dengkil yang telah beristeri dan mempunyai anak-anak tetapi tidak mempunyai rumah sendiri.

Mendesak kerajaan membina rumah yang mampu dimiliki para belia yang telah berkeluarga tetapi masih duduk menumpang.
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Pautan Sepang
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Kerajaan Tempatan
Badan Berkanun Negeri
Agensi Kerajaan Negeri
Pejabat Daerah & Tanah
Kolej dan Universiti di Selangor
Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Pentadbir
    BLOGGER